Sabda
beradat

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassolaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Anbiyaai Wal Mursalin Wa’ala Aalihi Wa Sohbihi Ajma’iin Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera

 

Saya mengucapkan Selamat Datang ke Wilayah Adat Perpatih Naning yang penuh dengan adat, budaya, resam dan sejarahnya. Pengembaraan Adat Perpatih di bumi bertuah Malaysia ini bermula dari Naning sebagai negeri pertama yang dibuka oleh Dato’ Perpatih Nan Sebatang. Wilayah Naning merupakan sebuah wilayah yang tertua sekali di Malaysia dalam pengamalan adat Perpatih kerana Naning telah dibuka sendiri oleh Dato’ Perpatih Nan Sebatang atau Jatang Sutan Balun.

 

Saya juga mengalukan kedatangan para pelabur luar dan dalam negara, pengkaji sejarah, pelawat, pelancong dari seluruh dunia dan juga masyarakat Wilayah Naning sendiri untuk sama-sama berganding bahu membangunkan seluruh pelusuk alam Naning dengan pembangunan lestari tanpa mengenepikan prinsip agama, adat dan budaya di Wilayah Naning. Kerajaan Malaysia dan Melaka telah membangunkan pelbagai bentuk kemudahan infrastruktur, kemudahan awam, pelaburan industri dan pelbagai manfaat yang kita sama-sama kecapi hari ini.

 

Jutaan penghargaan kepada kerajaan negeri Melaka yang baru dipilih oleh rakyat meneruskan pelbagai usaha membangunkan serta melestarikan pelaburan asing dan tempatan di Wilayah Naning. Seluruh Masyarakat di Wilayah Naning merasai serta meraikan segala usaha pembangunan yang dijalankan oleh pihak kerajaan secara berterusan sepanjang masa tanpa mengenepikan adat dan budaya masyarakat Adat Perpatih Naning. Harapan saya agar usaha pembangunan Adat Budaya Perpatih Naning akan menjadi pemangkin penting dalam usaha bersama-sama pihak kerajaan mengukuhkan kesatuan, kerukunan, kestabilan dan merancakkan lagi pembangunan sosial dan ekonomi.

 

Seluruh masyarakat Wilayah Naning mengucapkan terima kasih dan menghargai komitmen serta sumbangan semua pihak dalam menjamin dan mengekalkan keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara dan wilayah ini yang dengannya membolehkan pembangunan dan kemajuan berjalan dengan baik seperti dirancang.

Akhir sabda, saya berdoa semoga Malaysia dan wilayah ini serta rakyatnya akan terus diberkati dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya. Wabillahi taufik walhidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

 

Dato Paduka Seri Diraja Abu Hassan Bin Hj Mansor                                                          Dato’ Paduka Seri Diraja Waris Tertua Kerabat Dato Naning Melaka