Sejarah Adat
Perpatih Naning

Wilayah Adat Perpatih Naning

Naning – Sebuah Perjalanan Adat Perpatih

Naning ialah suatu kawasan di Melaka, Malaysia. Walau bagaimanapun, Naning merupakan salah satu negeri asal yang membentuk persekutuan Negeri Sembilan pada abad yang ke-16. Menurut Newbold (1839), Naning merupakan salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Negeri Sembilan yang melibatkan sembilan buah negeri (rantau Minangkabau) yang diteroka masyarakat Minangkabau daripada Sumatera Barat. Naning mula diteroka oleh orang Minangkabau yang berhijrah dari Sumatera pada abad yang ke-14. Naning mengamalkan Adat Perpatih yang telah diasimilasikan dengan kehidupan dan gaya masyarakat tempatan terutamanya daripada masyarakat orang asli.

 

Disamping itu, wilayah Naning diperintah oleh seorang Penghulu yang bergelar Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Raja Merah daripada keluarga Nan Bergajah Tunggal (kerabat Naning). Sistem pentadbiran di Naning bukanlah bersifat autokrasi tetapi lebih kepada sifat demokrasi iaitu sistem adat Nan Berjenjang Naik yang membawa maksud pembesar atau ketua dalam sesuatu komuniti (dalam Naning) tertakhluk kepada kuasa daripada orang bawahannya. Sistem politik Naning mempunyai corak pengurusannya sendiri apabila pemerintahan dilicinkan lagi dengan kewujudan Lembaga Adat Naning (LAN) yang mempunyai beberapa pecahan struktur.

 

Naning merupakan sebuah kawasan wilayah yang bersempadan diantara daerah Rembau dan Melaka yang berkeluasan kira-kira 200 batu atau 250 KM persegi. Wilayah Naning telah dibuka oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang merantau ke Semenanjung Tanah Melayu. Wilayah Naning merupakan sebuah wilayah yang tertua sekali di Malaysia dalam pengamalan adat Perpatih kerana Naning telah dibuka sendiri oleh Dato’ Perpatih Nan Sebatang atau Jatang Sutan Balun. Wilayahnya yang berdekatan dengan Bandar Hilir, Melaka (kira-kira 10 batu) menjadikan bukti yang kukuh dalam pembentukan wilayah oleh masyarakat Minangkabau yang berlabuh di Melaka yang terkenal sebagai perlabuhan dunia. Sifat geografi wilayah Naning di kawasan utara Melaka menguatkan lagi asas pembentukan adat Perpatih seperti mana yang terkandung dalam perjanjian Dato’ Nan Duo Selo iaitu sebuah perjanjian pentadbiran wilayah diantara Maharajo Basa atau dikenali sebagai Datuk Ketemenggungan dengan Datuk Perpatih Nan Sebatang.

 

Pada sekitar abad ke-16, Wilayah Naning merupakan salah satu sekutu daripada Sembilan Negeri Melayu yang bersekutu sehingga dikenali dengan nama Negeri yang Sembilan (Negeri Sembilan). Sembilan buah negeri yang bersekutu ini adalah Naning, Rembau, Johol, Sungai Ujong, Jelebu, Ulu Pahang, Segamat, Kelang dan Jelai.

 

Peneroka awal – Kumpulan keluarga yang mula-mula sampai dan meneroka Naning adalah :

  1. Kumpulan keluarga Nan Bogajah Tungga
  2. Kumpulan keluarga Semelenggang
  3. Kumpulan keluarga Tiga Batu
  4. Kumpulan keluarga Mungka
  5. Kumpulan keluarga Anak Melaka

Alat Kebesaran Adat Perpatih Naning

KITAB SUCI AL-QURAN

Kitab suci Al-Quran merupakan Alat Kebesaran Diraja yang utama melambangkan pemerintahan raja beragama Islam. Kitab ini dibawa ke majlis istiadat hanya semasa Berkojan YAM Dato Undang Naning. Di permulaan istiadat Berkojan, Al-Quran ini dengan penuh tertibnya dipersembahkan kepada YAM Dato Undang Naning yang kemudiannya beliau akan mengucup dan meletakkannya di atas rehal di meja khas istiadat di atas singgahsana. Al-Quran ini akan berada di tempat khas itu sepanjang istiadat berkojan berlangsung dan dibawa keluar hanya setelah semua atur cara istiadat selesai.

KERIS BISO

Keris Adat atau Keris Biro (keris sisip) merupakan keris pusaka yang diwarisi sejak zaman berzaman. Mata keris ini diperbuat daripada besi yang dikumpul daripada beberapa daerah dalam wilayah naning, terdiri daripada logam waja bermutu tinggi. Hulu keris, sampir dan sarungnya diperbuat daripada gading jenis terbaik dan diperhalus berkilat. Keris ini merupakan KERIS KEBESARAN KUASA yang diperbuat daripada tembaga seperti emas yang panjangnya hanya sejengkal dewasa dimana keistimewaannya sangat ajaib. Jika keris ini dituntung, ia akan mengeluarkan air dan jika di tegakkan akan mengeluarkan api. Dikhabarkan air keris ini sangat berbisa dan dicatatkan didalam terombo ini:

Ditegak berapi,

Dituntung berair,

Dikobeh (kibas) beribut taufan,

Setitik jatuh ke ladang,

Tujuh musim pokok tak berubah,

Setitik jatuh ke laut,

Tujuh tahun ikan tak beranak,

Keris Penyalang

KERIS PENYALANG

Keris berukuran 25 inci ini yang melambangkan 25 buah mukim dalam wilayah Naning merupakan KERIS KUASA RAJA PEMERINTAH. Keris mata sepukal ini diperbuat daripada logam waja bermutu tinggi. Hulu keris, sampir serta sarungnya diperbuat daripada kayu kemuning bukit bersalut emas merah diukirkan penuh rapi melambangkan kedaulatan serta kuasa seorang raja pemerintah dan dikenali sebagai keris persembahan rakyat dengan ikat nama KERIS PENYALANG @ KERIS ALANG HUKUM. Keris Alang atau keris penyalang adalah sejenis keris kuasa, senjata yang tidak digunakan untuk bertarung tetapi lebih merupakan simbol kuasa dan autoriti kerajaan beraja. ‘Keris Alang’ Senjata Hukuman Mati Kerajaan Melayu Tua. Keris Alang digunakan untuk menjalankan hukuman bunuh terhadap penjenayah berat. Keris ini diwarisi lebih 300 tahun yang lalu.

Tengkolok Destar

TENGKOLOK DESTAR BATIK TAJUL LAYANG SELOK PELANGI

Tengkolok Destar Batik Tajul Layang Selok Pelangi diperbuat daripada kain tenunan warna hitam dan bersulamkan benang emas penuh. Bentuk ikatan dan warna Tengkolok Diraja Tajul Layang Selok Pelangi adalah berlainan. Tengkolol ini bersifat Raja Berdaulat yang garang dan tegas. Di bahagian hadapannya diletakkan lambang Wilayah Naning yang diperbuat daripada emas kuning.

BAJU SEKEPAL SERI SETAMPUK PINANG

BAJU SEKEPAL SERI SETAMPUK PINANG

Adapun sebabnya dikatakan Baju Sekepal (Setampuk Pinang) atau Suindusen Wa is Tabrokin itu ialah suatu jenis BAJU AJAIB kebesaran kerajaan Naning (Tanah Biso) nama sebenarnya SINDUSIN WAISTABRAKIN pusaka dari keturunan Nabi Syis as, yang mana potongannya seperti baju orang tua dahulu sepasang dengan SELUARNYA dengan keadaan kainnya pula daripada jenis sutera lembut lunak. Dinamakan setampuk pinang di mana tentang tebuk leher baju itu betul-betul sebesar TAMPUK PINANG (kecil) manakala pada bahagian kaki seluarnya juga serupa keadaannya.

PEDANG ULAR KENYANG ATAU SUMPIK SERIBU

Pedang Kebesaran Diraja merupakan pedang pusaka yang diwarisi daripada berketurunan dan merupakan alatan penting dalam segala istiadat dimana ia diperbuat daripada tembaga berupa emas kuning dan dikhabarkan berasal dari tanah sumatera yang diwarisi dari tanah arab. Dikatakan pedang ini berusia lebih 700 tahun dan hanya digantikan sarungnya terakhir kali pada sekitar tahun 1940an.

TOMBAK

Tombak merupakan alat senjata bermata besi tajam dengan batang panjang bersalut perak di beberapa bahagian tertentu. Tombak ini dikeluarkan untuk kegunaan hanya semasa keberangkatan masuk YAM Dato Undang bagi semua Istiadat Rasmi yang berlangsung di Balairung Seri dan semasa Baginda berangkat meninggalkan Balairung Seri setelah selesai sesuatu istiadat rasmi. Tombak ini disandang oleh dua orang penjawat berpakaian lengkap istiadat.